1.Siddiq/Benar
Siddiq bererti benar. Ia diambil daripada kalimah as-Sidqu
iaitu mengatakan yang benar dan terang. Sifat benar ini wajib ada pada
rasul. Ia menjadi sifat yang mutlak iaitu bersifat benar dalam semua
perkara sama ada dalam percakapan, perbuatan dan hati. Apa yang
disabdakan oleh para rasul dan para nabi adalah benar dan dibenarkan
kata-katanya. Para nabi dan rasul mempunyai sifat siddiq iaitu membawa kebenaran.
2. Amanah
Perkataan amanah
mempunyai pengertian khusus dan umum. Dalam pengertian khusus amanah
bererti mengembalikan harta benda kepada yang mengamanahkannya.
Manakala dalam pengertian khusus pula amanah memberi maksud
menyembunyikan rahsia, ikhlas dalam memberi nasihat dan benar-benar
menyampaikan sesuatu bila ditugaskan untuk menyampaikannya.
Sifat amanah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam seperti
sifat-sifatnya yang utama adalah lengkap dan sempurna. Tidak diragukan
lagi bahawa keluhuran budinya adalah penyumbang terbesar yang
menyebar-luaskan risalah Allah. Baginda telah menyampaikan risalah itu
kepada manusia dengan sebaik-baiknya. Bangsa Arab telah mengenal sifat
amanah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sebelum baginda
diutus. Mereka memberinya dengan gelaran “Al-Amin” orang yang
terpercaya. Oleh kerana itu mereka menerima keputusan-keputusan baginda
dalam perselisihan di antara mereka dan rela dengan ketetapan
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana keputusan tentang perletakan Hajarul Aswad yang dibuat oleh Baginda.
3.Tabligh/Menyampaikan
Maksud tabligh
ialah menyampaikan. Para rasul menyampaikan wahyu yang diterima
daripada Allah, di mana menyampaikan itu menjadi sifat yang istimewa
kepada mereka. Mustahil mereka menyembunyikan wahyu Allah. Mereka tetap
menyampaikannya walaupun menghadapi kezaliman dan kekejaman manusia.
Semua rasul
mengisytiharkan dengan berterus-terang dan bersemuka bahawa mereka
menyampaikan perintah Allah dan menasihati umatnya. Begitu juga kita
dapati Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan
supaya menyampaikan perintah Allah kepada umat manusia. Para rasul
sentiasa menyampaikan segala ajaran, peringatan, hukum-hukum, berita
gembira dan berita buruk kepada seluruh umatnya.
4.Fatonah/Bijaksana
Fatonah bermaksud cerdik dan bijaksana. Setiap rasul yang dipilih oleh Allah wajib bersifat dengan sifat fatonah,
malah secara luar biasa dalam memahami ajaran Allah. Para rasul
memiliki kekuatan ingatan dan ketajaman akal yang luar biasa, sehingga
tidak ada sesiapa yang mampu menandingi mereka, kerana mereka telah
diamanahkan untuk menyampaikan agama Allah, menyatakan hukum-hukumnya,
menghapuskan segala kekeliruan, menegakkan iman dalam hati manusia
dengan hujah-hujah yang kuat serta membatalkan segala penentangan ke
atas agama Allah.
Sifat fatonah adalah sifat yang saling berkait dengan sifat tabligh,
kerana dalam menyampaikan ajaran Allah para pesuruh Allah mesti
menghadapi perbahasan dan perbincangan yang sengit dengan musuh-musuh
mereka. Dengan sifat fatonah itu wajar bagi mereka melaksanakan perintah Allah.
Jika kita mengkaji sejarah hidup Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam,
kita dapati baginda seorang yang bijak dan dapat memberi hujah yang
kuat. Tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya, sehinggakan
kata-kata baginda (hadis) menjadi hujah yang kuat hingga akhirat kelak
Tidak ada komentar:
Posting Komentar